Skuad Terengganu meletakkan sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir dalam Kejohanan Ragbi Arau 7s Bawah 20 Tahun di Kolej Vokasional Arau yang bermula Sabtu ini.

Menurut jurulatihnya, Izami Zainuddin, kejohanan itu akan menjadi medan menguji kekuatan barisan Terengganu untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan.

Kedukaan tewas dalam pusingan awal Kejohanan 7s Kebangsaan di Ipoh, bulan lalu, juga ingin diubati segera dengan penampilan lebih bertenaga di Arau.

“Sudah tentu saingan sengit sekali lagi akan diberikan kerana lapan daripada 12 pasukan yang akan bertanding adalah skuad Sukma masing-masing.

“Kami baru pulang dari kejohanan ragbi di Hatyai, Thailand dan pemain-pemain didedahkan dengan aksi bertemu pasukan hebat seperti Royal Thai Navy dan Royal Thai Police,” katanya.

Selain itu, rombakan kecil akan dilakukan dengan sekurang-kurangnya tiga tonggak Terengganu dilanda kecederaan, namun Izami tetap optimis peluang berada dalam empat pasukan terbaik.

Selain pasukan ragbi Sukma Terengganu, turut mengambil bahagian ialah skuad Sukma Perlis, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Melengkapkan 12 pasukan dalam acara elit bawah 20 tahun ialah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Politeknik Shah Alam dan Universiti Malaysia Perlis.

Turut dipertandingkan dalam Kejohanan Ragbi Arau 7s ialah kategori kolej vokasional, bawah 16 tahun dan perempuan (touch).