Jurulatih bola baling wanita Terengganu, Mohd Fadli Sidek, meletakkan sasaran untuk muncul juara Kejohanan Bola Baling Kebangsaan 2016 yang akan membuka tirainya di Kompleks Sukan Gong Badak, esok.

“Pasukan ini sudah mula berkumpul dan menjalani latihan sejak minggu lalu dan dibarisi pemain-pemain utama yang sedang mewakili universiti masing-masing.

“Malah, mereka juga pemain senior yang memenangi pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di Kuala Lumpur, selain tiga pemain pelapis yang menjuarai Kejohanan Bola Baling Kebangsaan B-16, tahun lalu.

“Selaku tuan rumah, sudah tentu ada sedikit tekanan kepada kami, namun saya yakin dengan kemampuan pasukan ini dan dengan kekuatan yang ada, sasaran kami untuk ke final seterusnya muncul juara, mampu dicapai.

“Dengan kualiti pemain yang bakal menggalas cabaran Terengganu kali ini, saya percaya dengan kemampuan untuk merangkul kejuaraan, namun kami harus berhati-hati dengan musuh tradisi, Perak,” ujarnya.

Sasaran yang sama turut diletakkan skuad lelaki Terengganu walaupun persiapan yang singkat dilihat memberi persoalan terhadap keupayaan pasukan itu.

“Latihan skuad lelaki sedikit terganggu kerana sehingga hari ini (kelmarin), kami masih gagal mengumpul kesemua pemain gara-gara komitmen kerja.

“Namun, skuad lelaki yang dibimbing Hafizan Abu Bakar itu juga bukan calang-calang pasukan, mereka turut dibarisi pemain-pemain utama yang memenangi pingat emas Sukma 2011 dan 2013.

“Meskipun jarang bersama, mereka berjaya muncul juara kejohanan pemanas badan, Cabaran Bola Baling Universiti Malaysia Terengganu (UMT), baru-baru ini,” tambah Mohd Fadli.