Terengganu muncul juara kategori kelompok utama atau ‘Men Core’ Kejohanan Siri Ragbi 7's Kebangsaan 2019 selepas mengalahkan Kelantan 24-5 dalam perlawanan akhir di Padang Ipoh, Perak, hari ini.

Berlangsung dalam keadaan cuaca mendung, Terengganu membuktikan kehebatannya dengan memperoleh 24 mata hasil empat 'try' dan dua ‘conversion’.

Mata Terengganu diperoleh menerusi 'try' yang dilakukan Muhammad Haikal Ibrahim seawal minit pertama, Muhammad Harith Iqral Muhammad Anhar (minit ke-5 dan ke-7) serta Muhammad Syafiy Md Said, manakala dua 'conversion' disempurnakan Mohd Fairuz Abdul Rahman.

Sementara itu, Kelantan meraih lima mata menerusi satu 'try' yang disudahkan Muhammad Amir Ibrahim.

Menurut jurulatih Terengganu, Nik Mohd Shahiddan Mohd Zainal, kemenangan itu hasil kerja keras pemain dan strategi yang disusun rapi bagi menghadapi kejohanan berkenaan.

"Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan barisan pemain kerana mereka bermain 100 peratus," katanya kepada pemberita.

Dalam kategori Terbuka Wanita, Johor menundukkan pasukan tuan rumah 17-5 hasil tiga 'conversion' dan satu 'try'.

Terdahulu dalam kategori Lelaki Qualifier, iaitu saingan bagi melayakkan penyertaan ke lapan pasukan elit musim depan, Sabah mengalahkan Perlis, 14-0.

Bagi kategori Lelaki B-20, Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 28-7, manakala kategori Wanita B-20, Labuan mengalahkan Sabah 15-10 untuk muncul juara bagi kategori masing-masing.

Hadiah disampaikan oleh Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.