Trio berbasikal Terengganu mengungguli acara akhir pecut berpasukan B-17 dalam Kejohanan Trek Siri Ketiga Program Pembangunan Berbasikal Remaja hari ini.

Terengganu tidak pernah gagal dalam melahirkan pelumba muda berpotensi untuk trio yang dibarisi Wan Nor Akmal Mat Noor, Faisal Izuddin Ahmad Jaya dan Muhammad Sanim Fitri berupaya meraih pingat emas bagi edisi ketiga.

Mereka mencatat masa terpantas, 51.721 saat, meninggalkan pasukan Sabah di tempat kedua dengan perbezaan 0.643s.

Keputusan itu menyaksikan Terengganu ketika ini berjaya membawa pulang dua emas, satu perak dan empat gangsa.

"Memang susah kerana Sabah menggunakan kelengkapan yang bagus. Saingan menjadi sengit kerana kelebihan menerusi kelengkapan jelas membantu mereka," kata Muhammad Faisal.

Pelumba wanita B-15, Azwa Nabila Abdullah dan Anis Natasya Ahmad, pula akhirnya menebus kekecewaan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 apabila mengungguli acara pecut berpasukan dengan catatan masa terbaik peribadi, 42.022s.

"Saya belajar daripada aksi ketika Sukma. Saya meniru taktik itu di sini," ujar Azwa.