Terbuka Selangor: Hadafi bangkit untuk emas 

Oleh Penulis Jemputan 15 Disember 2017 71
Terbuka Selangor: Hadafi bangkit untuk emas 
Pengguguran daripada temasya KL2017 tidak mematahkan semangat atlet menembak negara, Hadafi Jaafar, untuk meraih pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Selangor 2017, hari ini. 

Hadafi, yang tidak terpilih beraksi di pentas Sukan SEA, Ogos lalu, mencatat 244 mata bagi acara 50 meter rifle prone lelaki dengan menewaskan Lutfi Othman di tempat kedua dan Ezuan Nasir Khan dengan gangsa. 

Dia yang telah lama tidak bergelar juara bagi acara itu membuktikan kemampuan dengan bidikan terbaik, apatah lagi Lutfi dan Ezuan merupakan prospek yang akan dipertaruhkan dalam Sukan Komanwel 2018. 

Sungguhpun namanya tiada dalam senarai untuk ke Gold Coast, April depan, Hadafi tetap tidak berputus asa untuk terus memperbaiki prestasinya dalam setiap kejohanan yang disertai. 

"Saya akan memberi saingan kepada mereka berdua (Lutfi dan Ezuan) untuk merebut dua tempat ke Sukan Komanwel," ujar Hadafi. 

Ezuan selaku pemenang emas dalam Sukan SEA lalu masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan jaket baru yang digunakan sejak September lalu yang mungkin memberi sedikit kesan kepada aksinya. 

"Kebiasaannya, jaket baru ini memakan masa sehingga empat bulan untuk menyesuaikan diri. Setakat ini, saya sudah mampu menyesuaikan diri sebanyak 70 peratus," kata Ezuan. 

Penembak elit negara, Bibiana Ng Pei Chin, pula berdepan aksi sengit daripada penembak muda Selangor, Dina Batrisyia Adi Azhar, sebelum mengungguli acara 10m air pistol wanita dengan perbezaan 0.2 mata sahaja. 

Bagaimanapun, Bibiana yang mewakili PDRM menganggap saingan Terbuka Selangor sekadar medan pemanas badan untuk dia mengekalkan momentum bagi persediaan ke Sukan Komanwel nanti. 

"Kejohanan ini digunakan untuk menguji teknik bagi menghadapi kejohanan yang lebih besar," ujar Bibiana. 

Dina pada awalnya mendahului kedudukan teratas dengan bidikan tertinggi dan tetap puas mampu memberi cabaran kepada penembak negara.

"Saya bersyukur dan gembira diberi peluang dan kepercayaan ini," katanya. 

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen