Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari, menempa nama sebagai juara Terbuka Malaysia 2017 menerusi kemenangan 3-0 ke atas Milny Louw dari Afrika Selatan dalam perlawanan akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Sivasangari, yang memenangi pingat emas dalam temasya KL2017, Ogos lalu, lambat panas dalam aksi pembukaan sebelum tenang memperkemaskan permainan untuk meraih kemenangan ke atas pilihan ketiga itu, 11-9.

Dia dilihat lebih positif dengan kerap melancarkan asakan di bahagian depan untuk memerangkap lawannya itu untuk mengukuhkan kedudukan dengan kemenangan 11-3.

Bagaimanapun, usaha Louw untuk menghidupkan peluangnya tidak menjadi kenyataan apabila tunduk 11-5, sekaligus memberikan laluan kepada juara remaja Asia itu untuk menggondol hadiah kemenangan AS$10,000 (RM42,265).

Kejayaan itu menyaksikan Sivasangari muncul pemain kedua negara dinobatkan selepas Datuk Nicol David melakukannya pada 2013.

"Ini minggu yang bagus buat saya dan saya sentiasa fokus memberi saingan dalam kejohanan ini," katanya sejurus perlawanan berakhir.

Sementara itu, hajat Ng Eain Yow untuk mengungguli kategori lelaki tidak kesampaian.

Selepas tujuh tahun tanpa wakil negara di pentas final, Eain Yow gagal menyekat kemenangan pilihan ketiga dari Hong Kong, Leo Au, dengan keputusan 11-6, 11-2, 11-4.

Mengulas kekalahannya itu, Eain Yow berkata: "Saya kesal tidak dapat menampilkan aksi terbaik hari ini. Pujian harus diberikan kepada Leo Au yang tampil dengan permainan hebat hari ini.

"Saya tidak pasti apa yang terjadi dan akan mengkaji semula permainan saya selepas ini."