Atlet olahraga negara terpaksa menunggu lebih lama untuk memburu had kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan, yang akan dibuka semula Selasa ini.

Ia susulan keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menunda Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke Januari 2021 ekoran gagal mendapatkan kebenaran untuk membawa masuk atlet dari luar negara.

Penundaan itu bermakna atlet negara terpaksa merangka semula program latihan mereka dan menunggu lebih lama untuk memburu had kelayakan yang ditetapkan

"Kami sudah membuat keputusan untuk menangguhkannya (Terbuka Malaysia) ke tahun depan," kata Presiden KOM, Datuk S.M. Muthu, kepada Nadi Arena.

"Disebabkan COVID-19 ini, kami tidak boleh mengadakan apa-apa pertandingan.

"Kami mahu menjemput atlet daripada negara lain tetapi kes COVID-19 masih meningkat setiap hari.

"Kami juga mahu menjamin kesihatan atlet daripada luar negara dan jika mereka datang ke sini, mereka masih perlu menjalani kuarantin selama dua minggu.

"Sekarang ini juga masih belum boleh merentas negeri dan ada atlet tempatan yang tidak mahu mengambil bahagian disebabkan kes COVID-19 yang semakin meningkat.

"Jadi, untuk Januari ini, kami memberi peluang untuk atlet menentukan sama ada mereka mahu menyertainya atau tidak," katanya.

KOM sempat menganjurkan kejohanan ujian di trek Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil tiga minggu lalu, yang hanya membabitkan atlet Program Podium, tetapi catatan dalam kejohanan itu tidak akan diiktiraf.

Dalam Sukan Olimpik Rio 2016 jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh, layak secara merit ke temasya itu manakala ratu pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli, meraih tiket peluang khas dalam acara 100 meter.