Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow, menegaskan misi mencabar Kejohanan Terbuka Malaysia 2019 bukan sesuatu yang mustahil.

Saingan edisi 2018 menyaksikan hanya wakil wanita muncul juara menerusi Low Wee Wern.

Bagaimanapun, wakil lelaki mengecewakan, termasuk Eain Yow apabila terkandas dalam suku akhir.

Sasaran untuk Eain Yow dan lima lagi pemain mencabar kejuaraan kali ini diletakkan oleh ketua jurulatih negara, Ajaz Azmat.

"Melangkah ke final adalah sasaran bagi saingan Terbuka Malaysia. Kami harus menampilkan aksi terbaik dalam usaha mendapatkan keputusan terbaik," kata Eain Yow.

Antara nama besar yang mengesahkan penyertaan untuk acara lelaki adalah bintang Hong Kong, Max Lee.

Bagaimanapun, penyertaan pemain di ranking ke-26 dunia itu tidak mencetus gentar buat Eain Yow.

"Terbuka Malaysia kali ini merupakan persaingan yang lebih terbuka. Sesiapa pun mampu mencipta kemenangan dan saya yakin memenanginya kali ini."