Roger Federer kembali ke gelanggang rumput dengan merakamkan kemenangan selesa 7-6 (7-1), 6-3 ke atas John Millman dalam aksi pembukaan Terbuka Halle.

Millman menewaskan Federer dalam Terbuka AS tahun lalu, namun juara grand slam 20 kali itu -- di landasan untuk merangkul gelaran ke-10 di Halle -- mengawal sepenuhnya permainan semalam.

Pemain kelahiran Australia itu berhempas-pulas dalam set pertama untuk membawa perlawanan ke penentuan tie-break, namun tekanan yang diberikan Federer menggugat permainannya.

Mendahului satu set, Federer mempamerkan persembahan yang cukup selesa, mengawal rentak dan keyakinan dalam set kedua.

Pemain berusia 37 tahun itu meraih kemenangan straight set ke atas Millman menerusi pukulan depan yang deras.

Juara bertahan, Borna Coric, yang menewaskan Federer dalam aksi final 12 bulan lalu, turut mara ke pusingan seterusnya selepas menyingkirkan Jaume Munar.

Matteo Berrettini pula menggunakan momentum menjuarai gelaran Terbuka Stuttgart dengan kemenangan bergaya ke atas pilihan keenam kejohanan, Nikoloz Basilashvili.