Naomi Osaka percaya dia tidak berani seperti tahun lalu ketika membuat persiapan menghadapi kempen mempertahankan gelaran Terbuka Australia.

Bintang Jepun itu menjulang gelaran grand slam kedua di Melbourne tahun lalu, beberapa bulan selepas menjuarai Terbuka Amerika Syarikat.

Tetapi pemain berusia 22 tahun itu menyedari cabaran yang perlu dihadapinya, dengan berkata dirinya lebih berani tahun lalu.

"Saya berasakan tahun lalu, saya lebih muda, saya hanya seorang wanita yang menyertai kejohanan dan mahu menikmatinya. Sasaran saya adalah mencipta kemenangan dan saya tidak akan membenarkan sesiapa menghalang saya," kata Osaka.

"Kini saya berasa lebih bersyukur dengan setiap kemenangan kerana mengetahui apa yang perlu dihadapi untuk meraihnya.

"Saya berasakan saya lebih berani tahun lalu berbanding tahun ini."

Osaka, pemain nombor tiga dunia, sekali lagi menjadi antara pilihan dan bakal berdepan Marie Bouzkova dalam pusingan pertama.

Ashleigh Barty, pemain nombor satu dunia, dijangka akan memberikan cabaran dan Osaka memuji kemampuan seteru dari Australia itu di mana dia telah bertemu tiga kali sejak 2018.

"Ia sangat ganjil. Semua orang mula bertanyakan soalan seperti saya dan Barty adalah musuh. Dia sedang beraksi dalam aksi final di Adelaide ketika ini.

"Saya berasakan dia seorang pemain berkualiti, pemain nombor satu dunia. Saya tidak tahu, kami sentiasa mengharungi perlawanan yang sengit."



Editor: Ammar Hakim