Terbuka Australia: Saya hormati Nadal -- Kyrgios

Oleh Staff Writer 26 Januari 2020 191
Terbuka Australia: Saya hormati Nadal -- Kyrgios
Nick Kyrgios percaya terdapat rasa hormat di antara dirinya dan Rafael Nadal tetapi hanya sejauh meluahkan minat terhadap pemain nombor satu dunia itu menjelang pertembungan kedua-dua pemain itu dalam Terbuka Australia.

Selepas Kyrgios dan Nadal menang dalam pusingan ketiga semalam, mereka bakal bertemu dalam pusingan keempat esok.

Nadal mudah mengatasi rakan senegara, Pablo Carreno Busta, 6-1, 6-2, 6-4 manakala Kyrgios mengatasi Karen Khachanov 6-2, 7-6 (7-5), 6-7 (6-8), 6-7 (7-9), 7-6 (10-8) dalam perlawanan yang mengambil masa selama empat jam dan 26 minit.

Kyrgios menang tiga daripada tujuh pertemuan dengan Nadal dan persaingan di antara kedua-dua pemain itu meningkat selepas Terbuka Mexico tahun lalu apabila kedua-duanya saling bertukar kata-kata selepas perlawanan yang dimenangi oleh wakil Australia itu.

Selepas melengkapkan kemenangan di Melbourne, Nadal berkata dia tidak pasti sama ada menggemari pemain berusia 24 tahun itu walaupun mengakui penglibatannya mampu memanfaatkan Jelajah ATP.

Apabila giliran Kyrgios berdepan wartawan, dia membincangkan mengenai perlawanan di antara mereka di Wimbledon tahun lalu, di mana Nadal menang dalam empat set.

"Kali terakhir saya berdepannya dalam Wimbledon," kata Kyrgios. "Kami mengharungi perlawanan yang menarik, 7-6 dalam set keempat.

"Kami adalah dua pemain tenis yang berbeza. Kami bermain dengan cara berbeza. Selepas Wimbledon, saya tewas dan diatasi oleh pemain-pemain yang lebih berkualiti.

"Saya bersalaman dengan Nadal, melihatnya dan berkata dia 'terlalu bagus'. Tidak kira sama ada kami menyukai antara satu sama lain, saya berasakan masih lagi menghormatinya. Dia salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman.

"Saya turut membaca dia berasakan saya adalah sesuatu yang bagus buat sukan tenis. Terdapat lapisan hormat antara kami."

Kyrgios percaya Nadal memiliki kelebihan fizikal selepas memiliki jalan yang lebih mudah untuk melangkah ke pusingan 16 namun tidak terlalu bimbang apabila menjelaskan keadaan hamstringnya jauh lebih baik selepas berdepan Khachanov.

"Secara fizikal, saya berasakan mampu bermain dengan cemerlang. Saya memiliki sepanjang hari ini. Berehat dan cuba melakukan yang terbaik.

"Sejujurnya, saya sangat teruja untuk perlawanan ini. Berdepan salah seorang pemain terbaik dunia di gelanggang utama di hadapan penyokong tuan rumah."



Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen