Pemain nombor satu dunia, Ash Barty, berjaya memastikan kemaraan ke separuh akhir Terbuka Stuttgart dengan kemenangan 2-6, 6-1, 7-5 ke atas Karolina Pliskova.

Pemain Australia bermula perlahan pada suku akhir kejohanan WTA 500 semalam ketika Pliskova merampas dua permainan untuk menang set pertama, sebelum Barty membalas dengan menyamakan kedudukan sebelum memastikan kemenangan dalam set penentu.

Kemenangan tersebut merupakan yang kelapan berturut-turut ke atas kelompok 10 pemain terbaik dan dia berkata berdepan barisan pemain terbaik dunia menghadirkan prestasi terbaiknya.

"Apabila anda menentang lawan 10 teratas, anda harus naik ke tahap lebih tinggi untuk bersaing. Mereka memaksa anda untuk memberikan yang terbaik," kata Barty.

"Dengan banyak pemain wanita di 10 teratas, kami mempunyai banyak perlawanan yang berjaya, pengalaman yang berbeza, jadi setiap kali saya suka cabaran untuk menguji diri saya dengan yang terbaik."

Barty bakal berdepan Elina Svitolina dalam separuh akhir selepas mengatasi Petra Kvitova 6-7 (4-7), 7-5, 6-2.