Teknik penyudah jadi keutamaan Shalesh

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2017 11
Teknik penyudah jadi keutamaan Shalesh
Tiada rehat panjang buat skuad bola sepak lima sepasukan para negara selepas berakhir Sukan Para ASEAN 2017 kerana perlu memberi tumpuan kepada Kejohanan Piala Asia bagi melayakkan diri ke Piala Dunia, tahun depan.

Selepas meraih pingat gangsa bulan lalu, skuad kendalian M. Shalesh itu hanya berehat seminggu sebelum kembali berlatih.

Piala Asia yang bakal bermula pada 9 Disember depan amat penting untuk mereka merebut slot antara tiga pasukan teratas bagi melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama di Sepanyol pada Mei 2018.

Sukan yang melibatkan pemain cacat penglihatan itu semakin mendapat perhatian orang ramai, sekaligus membuatkan mereka enggan ketinggalan dalam mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Tujuh negara termasuk Malaysia bakal beraksi iaitu China, Iran, Korea Selatan, Jepun, Thailand dan India.

“Jadi, kita tidak boleh melakukan kesilapan. Kami sekali lagi akan berdepan Thailand dan bakal bertemu juara-juara Asia.

"Sebelum ini, kami pernah tewas 0-1 di tangan Jepun, tewas 0-2 di tangan China, dan tidak dibelasah adalah keputusan yang membanggakan. Perubahan pada pasukan memang wujud,” kata Shalesh.

Latihan ketika ini lebih fokus kepada kawalan bola dan bahagian serangan yang menjadi kelemahan ketara sehingga menyebabkan mereka sukar mencatat jaringan.

“Kami lebih bertumpu kepada penyudahan kerana teknik sudah ada. 

“Sebelum ini, ada perlawanan yang menyaksikan kami meraih 22 percubaan tetapi gagal menjaringkan gol. Dalam bola sepak, kami perlu menajamkan sentuhan,” ujarnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen