Tarikh baru Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) masih belum boleh diputuskan sehingga proses pengantaraan selesai.

Timbalan Presiden MPM, John Ng, ketika dihubungi Bernama memaklumkan bahawa MPM telah menubuhkan jawatankuasa pengantaraan berikutan bantahan terhadap pencalonan yang dikemukakan Persatuan Kanu Malaysia (MASCA).

Atas nasihat Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan juga perlembangaan, mereka bertindak menubuhkan Jawatankuasa Pengantaraan MPM untuk menangani isu bantahan tersebut.

"Bantahan terhadap pencalonan MPM telah dibuat dan kami akan rujuk kepada jawatankuasa pengantaraan seperti yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan MPM.

"Selagi ini berterusan, kami kena selesaikan dulu. Ia kena dirunding terlebih dahulu. MASCA telah hantar surat bantahan. Sekiranya kami teruskan AGM, mereka akan memohon injunksi. Jadi, kami tidak boleh teruskan lagi sehingga proses pengantaraan diselesaikan," katanya.

Terdahulu, pada 29 Jun lepas, AGM badan induk itu terpaksa ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan selepas mendapat persetujuan 24 ahli gabungan yang hadir.

Ia berikutan pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dipertikaikan kerana beliau dikatakan menghantar borang pencalonan selepas tamat tempoh yang sah bagi kerusi nombor satu MPM itu apabila penyandangnya, SM Nasarudin SM Nasimuddin, tidak mahu mempertahankan jawatan itu.

Selain Khairy, empat lagi pencalonan turut dipertikai sama ada layak bertanding ataupun tidak berikutan lewat menghantar borang pencalonan masing-masing pada 15 Jun lalu, sehari selepas tarikh tutup yang ditetapkan.

Ng menjelaskan dalam perlembangaan MPM, sekiranya AGM tidak diadakan dalam masa yang ditetapkan, mereka harus memohon lanjutan masa daripada Pesuruhjaya Sukan.

Katanya sebagai contoh, sebelum ini AGM MPM pernah diadakan selepas enam bulan ekoran masalah laporan audit tidak dapat disiapkan sebelum tarikh AGM diadakan.

Tambahnya lagi, MPM telah pun memaklumkan kepada PPS mengenai adanya surat bantahan yang perlu rujukan undang-undang pengantaraan mengikut perlembangaan badan induk itu.

-- BERNAMA