Di sebalik penularan Covid-19 yang makin serius, ia menjadi persoalan bagaimana keadaan atlet negara yang sudah hampir sebulan menetap di Majlis Sukan Negara (MSN) sahaja.

Apa yang pasti adalah motivasi ataupun keinginan untuk berlatih setiap hari mungkin menjadi satu dugaan jika masih tiada tanda kejohanan-kejohanan utama akan kembali.

Dua atlet negara tampil menjawab persoalan tersebut dengan menyatakan bahawa tanggungjawab sebagai atlet negara dan impian yang masih belum tercapai menjadi pembakar semangat.

"Saya berasakan mahu merealisasikan impian saya ke Sukan Olimpik adalah perkara yang sentiasa memberikan semangat sepanjang masa untuk terus berlatih dengan sebaik mungkin," kata penerjun negara, Chew Yiwei.

"Saya akan terus berlatih dan cuba untuk mendapatkan tempat ke Paris 2024."

"Buat masa ini, setiap latihan berjalan dengan baik, kami semua bersiap sedia bagi menghadapi pertandingan dan perkara itu memastikan motivasi kami berada di tahap tertinggi," kata atlet angkat berat negara Erry Hidayat.