Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, meminta Program Podium menamatkan kontrak barisan jurulatih luar negara, terutama jurulatih lompat tinggi, Alex Stewart, selepas gagal membantu Malaysia meraih pingat Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Beberapa jurulatih luar negara menjadi sasaran KOM susulan kegagalan Malaysia meraih pingat seperti ditetapkan Program Podium dalam sukan bertemasya tahun ini.

KOM kecewa kerana ada antara mereka yang sudah berkhidmat di Malaysia sejak lebih sedekad lalu dengan pencapaian sederhana.

"Stewart gagal memastikan atlet negara meraih pingat dalam dua kejohanan utama tahun ini. Beliau di bawah Program Podium. Apabila KOM bertegas, kami dianggap ingin masuk campur tetapi kami kecewa apabila atlet negara gagal mempamerkan aksi cemerlang," kata Karim.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum menentukan nasib atlet serta jurulatih Program Podium.

Apa yang pasti, lebih kurang separuh daripada 148 atlet akan digugurkan kerana tidak terbabit dengan Sukan Olimpik Tokyo 2020.