Taekwondo: Kecederaan gugat prestasi Sara

Oleh Staff Writer 13 Disember 2019 181
Taekwondo: Kecederaan gugat prestasi Sara
Kegagalan sandaran utama, Sara Yap Khim Wen, untuk membawa pulang pingat emas dalam acara taekwondo poomsae Sukan SEA Filipina adalah disebabkan kecederaan lama yang berulang sehingga memaksa atlet itu beraksi dalam keadaan sakit.

Perkara itu didedahkan jurulatih skuad taekwondo negara, Yap Yih Tiing, yang turut menjelaskan anak buahnya itu sudah diberikan suntikan penahan sakit sebelum saingan bermula tetapi masih tidak dapat membantunya beraksi baik.

Kecederaan di paha kiri itu menyaksikan dia hanya mengutip 7.899 mata untuk menduduki tempat kesembilan kategori individu.

Selain itu, gandingannya bersama Nurul Hidayah Abdul Karim dan Lim Jia Wei hanya mampu meraih tangga kelima acara berpasukan wanita hasil 7.766 mata.

"Dia memang cedera. Sebelum ini, dia sudah diberikan suntikan.

"Mesti terasa sakit tetapi pada hari pertandingan, dia memang ada melakukan kesilapan.

"Mereka berlatih dengan baik tetapi apabila masuk ke gelanggang, suasananya berbeza dan prestasi mereka agak merosot," kata Yih Tiing.

Secara keseluruhan, skuad negara gagal menepati sasaran dua pingat emas seperti yang ditetapkan apabila hanya gandingan Nurul Hidayah dan Jason Loo meraih emas dalam acara berpasukan campuran.

"Skuad Malaysia kekurangan kejohanan besar, ia tidak mencukupi.

"Apabila beraksi dalam kejohanan besar, mereka gugup.

"Dalam sesi latihan, perkara itu tidak berlaku dan mereka amat bagus.

"Apabila mereka gugup, mereka tidak dapat beraksi baik," tambah seorang lagi jurulatih skuad negara, Jin Jun Beom.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen