Keputusan kurang memuaskan pada peringkat pertama saingan Jelajah Malaysia 2016 tidak menggusarkan jurulatih Terengganu Cycling Team (TSG), Adam Szabo.

Dilabel sebagai antara pasukan pilihan untuk menjejakkan kaki ke podium, TSG dijangka mampu memberi tentangan kepada pasukan Iran, Pishgaman Giant serta Kiman dari Jepun.

Peringkat pertama Jelajah Malaysia 2016 dari Dataran Merdeka ke Ipoh, menyaksikan TSG merangka strategi buat Hariff Salleh, untuk mencuri mata bagi saingan pecut.

Namun, penghujung saingan menyaksikan TSG disekat oleh pelumba Pishgaman serta pasukan Filipina, Seven Eleven Sava RBP, dengan Nur Amirul Fakhruddin meraih tempat keempat.

"Kami mahu memberikan tentangan dan keluar dari kelompok pelumba, malangnya di akhirnya kami ketinggalan walaupun kami melakukan usaha tersebut selama empat minit.

"Kami memiliki pelumba handalan dan sasaran utama kami adalah untuk mendapatkan jersi raja pecut, sayangnya kami berada di kelompok terakhir, dan ketinggalan lima minit di belakang," ujar Szabo

Mengulas peluang pasukannya untuk menghadapi peringkat kedua yang mempunyai pendakian sukar ke Cameron Highlands, Szabo mengharapkan kemampuan pakar mendaki dari Indonesia, Dadi Suryadi.

Selain itu, TSG juga bertekad ingin membantu Nur Amirul mengekalkan jersi merah selaku pelumba tempatan terbaik.

"Kami berjaya mendapatkan jersi pelumba tempatan terbaik, dan pelumba kami hampir menjejakkan kaki ke podium dan dia hanya ketinggalan dua mata untuk mendapatkan jersi rajapecut.

"Esok kami akan mencuba sekurang-kurangnya untuk mendapatkan jersi raja pecut tersebut dan memberikan sokongan kepada pelumba-pelumba kami untuk pendakian."