Pertemuan kali pertama di antara Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim, susulan kegagalan Malaysia di pentas Kejohanan AFC B-16 dijangka berlangsung esok bagi membincangkan isu Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Pertemuan berkenaan paling dinantikan selepas isu hangat berkaitan program NFDP timbul akibat kegagalan Teong Kim membawa skuad B-16 ke Piala Dunia. B-17 di Peru tahun depan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mencapai kata sepakat sebaik sahaja mendapat maklum balas daripada Teong Kim bagi berbincang mengenai masa depannya dalam NFDP.

Malah, yang bakal menjadi perbincangan utama sudah pastilah penilaian semula gaji sebanyak RM175,000 sebulan diterima Teong Kim yang sedang dipersoalkan ketika ini.

"KBS sudah menyampaikan hajat untuk berjumpa dengan Teong Kim dalam masa terdekat ini.

"Kami sudah mendapat maklum balas dan kita tunggu sahajalah keputusannya nanti," ujar Syed Saddiq.

Bagaimanapun, sebarang keputusan hanya akan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas pada 15 Oktober ini, termasuk kedudukan Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar, yang sudah pun menghantar surat peletakan jawatan.

"Kalau boleh, saya tidak mahu membuat keputusan melulu, saya akan mengambil tindakan selepas mendapat maklum daripada jawatankuasa khas," katanya lagi.