Atlet negara memohon Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, mengutamakan kebajikan mereka di sebalik misi meraih pingat emas sulung Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Syed Saddiq akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Prestasi Tinggi Kawalan dan Pelaksanaan esok yang bakal menentukan hala tuju baru sukan negara.

Program baru itu akan menggantikan Program Podium selepas gagal mencapai sasaran dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Justeru, atlet berharap kebajikan dan program latihan dapat berjalan seiringan untuk mencapai matlamat di Tokyo.

"Program sedia ada perlu diteruskan dan saya harapkan Majlis Sukan Negara (MSN) memberi tumpuan kepada sukan angkat berat pada masa akan datang kerana saya yakin kami mampu menyumbangkan pingat disetiap peringkat kejohanan," kata atlet pelapis angkat berat negara, Afiq Haziq Daniel.

"Di peringkat Asia Tenggara, kami tiada pesaing kerana kebanyakannya berada di Eropah. Saya harap program baru nanti turut melibatkan latihan di luar negara," kata atlet karate-do negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan.

"Segalanya bergantung kepada latihan atlet itu sendiri. Benar dengan adanya program sukan dapat membantu perkembangan atlet, namun perkara utama tetap berkaitan latihan atlet itu sendiri," kata pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad.