Syed Saddiq mahu kemelut MPM selesai sebelum 2020

Oleh Bernama 12 November 2019 65
Syed Saddiq mahu kemelut MPM selesai sebelum 2020
Kemelut yang melanda Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) membabitkan penangguhan mesyuarat agung tahunannya perlu diselesaikan sebelum tahun 2020, tegas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau, yang kecewa dengan kegagalan MPM membentuk kepimpinan baru bagi penggal 2019-2023, menyifatkan tanggungjawab ke atas atlet paralimpik negara akan terabai sekiranya kemelut itu terus berlarutan.

"Saya tidak mahu menyatakan mengenai tarikh akhir (kemelut diselesaikan) tetapi secara umum saya mahu semuanya diselesaikan tahun ini juga," katanya ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Pelancaran Pakaian Rasmi Team MAS di Dewan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sebentar tadi.

Difahamkan, status bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin,  sebagai timbalan presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF) menimbulkan masalah kepada proses pencalonan kepimpinan baru MPM.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata beliau enggan campur tangan dan memberi laluan untuk ia diselesaikan mengikut peraturan sedia ada.

"Saya dapat laporan ada pertikaian daripada segi pelantikan dilakukan oleh salah satu persatuan yang menyebabkan pencalonan menjadi masalah tetapi sebagai menteri, saya cuba untuk tidak masuk campur dan biar ia selesai ikut peraturan sedia ada.

"Dalam perkara ini, secara jujurnya saya agak kecewa kerana sudah berbulan-bulan ia (kemelut) berlarutan dan MPM tidak dapat jalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

"Sukan Para ASEAN 2019 sudah dekat dan persiapan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 perlu bermula awal," tambah beliau.

Pesuruhjaya Sukan (PJS) dalam satu surat rasmi yang ditandatangani ketua penolong PJS, Asmadi Mohamad, baru-baru ini menyatakan pelantikan Khairy sebagai timbalan presiden MWRF adalah tidak sah dan boleh dipertikaikan kesahihannya.

Pada 29 Jun lalu, barisan kepimpinan baru MPM bagi penggal 2019-2023 masih kosong selepas AGM ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

Kedua-dua calon jawatan presiden MPM, Khairy dan pencabarnya, Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, tidak kelihatan dalam AGM tersebut.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen