Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mahu berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) supaya dapat mempertimbangkan kehadiran sukan bina badan dalam Sukan SEA Filipina tahun depan.

Susulan pencapaian cemerlang skuad bina badan negara dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Chiang Mai, Thailand, minggu lalu -- Malaysia memenangi empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa -- Syed Saddiq memberi jaminan untuk membantu merealisasikan hasrat atlet negara beraksi dalam temasya dwi-tahunan itu walaupun ia tidak disenaraikan di Kuala Lumpur dalam edisi dua tahun lalu.

Kali terakhir bina badan dipertandingkan dalam Sukan SEA adalah di Myanmar pada 2013.

Syed Saddiq akan mengadakan satu perjumpaan dengan MOM bagi memperbincangkan cadangan berkenaan, Rabu ini.

"Saya akan berusaha dengan sebaik mungkin bagi memastikan sukan angkat berat akan dipertandingkan dalam Sukan SEA di Manila, tahun depan.

"Saya akan bekerjasama dengan Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) untuk bertemu dengan MOM bagi membincangkan perkara itu," katanya.