Tiga sukan kekal menjadi harapan pingat emas sulung Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan selepas mesyuarat pelarasan yang diadakan di Bukit Jalil hari ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, dijangka mengumumkan nama program khas bulan depan.

Seraramai 10 pegawai utama persatuan berpotensi meraih pingat atau layak bertanding menghadiri mesyuarat pelarasan program Sukan Olimpik Tokyo 2020, antaranya Setiausaha Agung Persekutuan Karate-do Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad, namun peluang meraih emas di Tokyo tampak sukar.

Justeru, harapan emas kekal digalas badminton, terjun dan berbasikal trek.

"Misinya adalah kami akan mulakan perancangan yang lebih terperinci. Kami sudah maklumkan kepada mereka yang berkenaan untuk menyediakan perancangan sebelum perbincangan dibuat.

"Hujung tahun ini adalah masa yang memerlukan kerja lebih kuat, itu yang kami bincangkan," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Sukan Olimpik Rio 2016 menyaksikan Malaysia meraih empat perak dan satu gangsa.

Semua 10 persatuan yang terlibat perlu menghantar cadangan program latihan khas atlet mereka pada 10 Januari depan dan kelulusan cadangan latihan akan dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa pemandu program khas sebelum pengumuman mengenai nama program terbabit.

"Buat masa sekarang, biar kami rancang dulu bagi mengelakkan persepsi yang berlainan. Jadi, lebih baik kami rumuskan sebelum jawatankuasa pemandu bincangkan."