Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dijangka mengumumkan perubahan drastik mengenai penyertaan atlet negara dalam Sukan SEA Vietnam 2021 selepas mengadakan sesi bedah siasat susulan kegagalan Malaysia dalam temasya di Filipina.

Bagi membincangkan kegagalan kontinjen Malaysia mencapai sasaran 70 pingat emas, satu pertemuan khas diadakan di kediamannya hari ini.

Beberapa perkara dicapai dan akan diumumkan selepas mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) esok.

Ia dipercayai berkaitan cadangan menghantar atlet bertaraf pemenang pingat Sukan Malaysia (Sukma) bermula dengan temasya di Johor tahun depan untuk menyertai Sukan SEA Vietnam 2021.

"Syed Saddiq telah memiliki perancangan sendiri dan saya yakin dalam masa yang cukup singkat, dia akan berikan kenyataan mengenai tindakan yang akan dia dan MSN laksanakan," kata Chef-de-Mission (CDM) Sukan SEA Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Malaysia menamatkan cabaran di tangga kelima keseluruhan dengan 56 emas berbanding sasaran 70 emas.

Dalam masa sama, Megat Zulkarnain turut membidas pihak yang mahu beberapa pegawai utama sukan negara dipecat ekoran kegagalan di Filipina.

"Saya rasa tidak adil untuk mana-mana pihak menyerang Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dan lain-lain untuk meletakkan jawatan.

"Perlu diingat bahawa sasaran yang diletakkan itu bukan ditetapkan oleh mereka, sebaliknya dilakukan oleh persatuan sukan kebangsaan sendiri," tambahnya.

"Sebagai contoh silat. Jika sasaran empat emas tetapi tidak dapat dilaksanakan, jadi ia salah siapa? MSN? MOM?"