Atlet petanque negara, Syed Akmal Fikri Syed Ali, meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat suku akhir dalam Piala Dunia Petanque di Madagascar, 29 November ini.

“Persediaan kini berada di landasan terbaik dengan latihan intensif yang beterusan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Taman Keramat, Kuala Lumpur, di bawah tunjuk ajar tiga jurulatih.

“Jika sebelum ini kami hanya menjalani latihan seminggu sebelum kejohanan tetapi untuk Piala Dunia, latihan sudah berjalan sejak sebulan yang lalu, jadi persiapan kini lebih mantap.

“Malah, kontinjen negara turut mengadakan kem latihan di Paris, Perancis, Ogos lalu,” kata atlet berusia 19 tahun itu.

Pemenang pingat perak dalam acara ‘triple’ lelaki dalam Sukan SEA Singapura, tahun lalu, Syed Akmal juga meraih pingat perak acara beregu dalam Piala Dunia Remaja di Ankara, Turki, pada 2011 serta pingat emas acara ‘shooting’ dalam Kejohanan Asia di Indonesia pada 2013.

“Meskipun pernah beraksi di pentas Piala Dunia Remaja, saya menjangkakan saingan lebih mencabar kali ini kerana bakal disaingi pemain lebih berpengalaman, terutama dari Perancis, Belgium dan Itali.

“Pemenang pingat emas acara perseorangan Sukan SEA Singapura, Mohamad Hafizudin Mat Daud, dan seorang lagi rakan sepasukan, Saiful Bahri Musmin, akan turut serta ke kejohanan itu.

“Sasaran adalah untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir dalam acara beregu. Namun, untuk acara ‘shooting’, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi,” tambahnya.

Mohammad Syurki Kamaruddin yang berpasangan dengan Syed Akmal memenangi emas beregu dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, pula bakal menggalas cabaran negara dalam Kejohanan Asia di Naypyitaw, Myanmar, bulan depan.

“Latihan pusat telah dijalankan untuk memantapkan skuad negara menghadapi dua kejohanan itu (Piala Dunia dan Kejohanan Asia) sebelum menghadapi Sukan SEA, tahun hadapan.

“Saya akan menyertai acara ‘triple’ lelaki dalam Kejohanan Asia nanti dan di bawah kendalian jurulatih, Syed Ali Syed Akil, saya menyasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa,” ujarnya.