Tonggak futsal negara, Syed Aizad Daniel Syed Nasir, menjangkakan persaingan sengit dalam pemilihan skuad negara ke Kejohanan Futsal Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Taiwan selepas beberapa pemain lama kembali dipanggil menyertai kem latihan pusat yang bermula 2 Januari ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan senarai 20 pemain ke kem latihan pusat menjelang Kejohanan Futsal AFC 2018 di Taiwan, Februari depan.

Ia menyaksikan 14 pemain yang membantu Malaysia muncul naib juara Kejohanan Futsal Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2017 di Vietnam, November lalu, dikekalkan termasuk Syed Aizad.

Melengkapkan senarai 20 pemain itu adalah enam pemain yang pernah bersama skuad kebangsaan, antaranya Syafiq Hamzah, Aidil Shahril Rosli dan Saiful Aula Ahmad.

"Ramai pemain berpengalaman menyertai kem latihan untuk beraksi di Taiwan, jadi kami tidak akan mengambil mudah serta cuba untuk memberikan yang terbaik dalam sesi latihan," katanya.

Syed Aizad yang juga pemain Felda United kini memburu penampilan kedua di pentas AFC selepas membuat kemunculan sulung di Uzbekistan tahun lalu.

Sememangnya, pemain berusia 21 tahun ini mengharapkan pencapaian lebih bermakna buat pasukannya kali ini selepas skuad negara menjadi pasukan belasahan ketika itu.

"Sasaran kami adalah melepasi peringkat kumpulan, sekaligus memperbaiki pencapaian skuad futsal negara," tambahnya.