Cabaran sengit dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia 2018 di India membuatkan atlet negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, mahu tampil lebih bersedia untuk mempertahankan gelaran dunia, Disember depan.

Syarul membuktikan dia masih yang terbaik di Asia selepas meraih gelaran Mr. Asia buat kali keempat berturut-turut bagi kategori fizik bawah 71 kilogram dalam saingan yang berlangsung di Pune, India, Sabtu lalu.

Walaupun Thailand tidak menurunkan atlet terbaik mereka, cabaran yang diberikan peserta tuan rumah memberi petanda awal bahawa bukan mudah buat Syarul untuk mempertahankan gelaran dunia di Chiangmai.

Syarul mengakui tiada rehat panjang buat dirinya kerana perlu mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk ke Kejohanan Dunia nanti.

"Cabaran kali ini memang sengit. Apabila berada di India, negara-negara yang mengutip pingat turut serta. Iran, Afghanistan, Iraq dan banyak lagi. Jadi, saingan memang sengit.

"Tuan rumah pula menghantar pasukan A, B dan C, jadi kategori saya menampilkan muka-muka baru yang kuat," kata Syarul.

Sementara itu, jurulatih bina badan negara, Othman Yahya, tetap berpuas hati dengan pencapaian kali ini walaupun Malaysia hanya menghantar tiga atlet ekoran kekangan kos.

Selain Syarul, cabaran negara di India turut digalas Malvern Abdullah yang menduduki tempat keempat kategori flyweight manakala Ahmad Faiz Ariffin gagal mara ke final kategori fizik.

"Tiga atlet sahaja yang kami bawa adalah disebabkan perbelanjaan yang agak mahal. Kami hanya mampu untuk tiga orang," ujar Othman.

"Banyak cabaran yang hadir daripada wakil India tetapi persembahan daripada atlet-atlet negara amat membanggakan, termasuk satu kilauan pingat emas."