Syarul harap program sukan baru tidak pinggir bina badan

Oleh Penulis Jemputan 28 Oktober 2018 54
Syarul harap program sukan baru tidak pinggir bina badan
Atlet bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, merayu agar penstrukturan semula program sukan untuk tahun depan mengambil kira sukan yang kerap dipinggirkan, namun mampu untuk menghadirkan kejayaan buat Malaysia

Bina badan antara sukan yang tidak diletakkan dalam Program Podium atau mana-mana program sukan di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).

Kebanyakan perbelanjaan dalam persiapan menghadapi kejohanan ditanggung sendiri oleh atlet.

Justeru, penstrukturan semula yang dijangka berlaku tahun depan diharap mampu memberikan sinar buat sukan bina badan yang kerap memberikan kejayaan di pentas antarabangsa.

"Setakat ini, sememangnya tiada sebarang pendekatan daripada pihak MSN untuk sukan bina badan.

"Kami melantik bekas atlet yang berpengalaman sebagai jurulatih dan kami berlatih secara bersendirian," kata Syarul.

Program Podium dijangka akan ditutup tahun depan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan merombak dan menggantikannya dengan satu program baru.

Program itu sebelum ini gagal mencapai sasaran dalam Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia.

"Adakalanya saya sememangnya terasa.

"Apabila saya pulang dengan kejayaan daripada kejohanan-kejohanan yang besar, saya tidak menerima sambutan seperti yang sukan-sukan lain terima.

"Saya membawa nama negara dan lagu Negaraku berkumandang di pentas antarabangsa, namun saya tidak mendapat layanan seperti yang sukan-sukan lain dapat," tambah Syarul.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen