Syarul Azman tolak tawaran Macau

Oleh Staff Writer 23 Februari 2020 310
Syarul Azman tolak tawaran Macau
Atlet bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, terpaksa menolak tawaran untuk menjadi jurulatih kebangsaan Macau selepas enggan mengambil risiko yang mungkin meragut nyawa susulan merebaknya Coronavirus di negara itu. 

Syarul menerima tawaran itu awal bulan lalu untuk membimbing atlet kebangsaan Macau.

Dia rasa berbelah bahagi setelah mengetahui keadaan di negara itu tidak menentu susulan terdapat 10 laporan membabitkan Coronavirus.

Dalam masa sama, dia masih belum bersedia untuk menjadi jurulatih dan menyimpan hasrat untuk meraih gelaran dunianya yang kelima berturut-turut.

"Saya rasa sudah buat keputusan kerana sebelum ini masih 50-50. Saya akan tolak tawaran itu. Pertama, saya lebih pentingkan persiapan saya untuk Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia. Jadi, saya lebih pentingkan dua kejohanan ini," katanya.

Untuk tahun ini, Syarul mempunyai misi yang lebih sukar berbanding tahun sebelumnya apabila tiga gelaran menjadi idaman.

Bukan sahaja perlu mempertahankan gelaran juara dunia dan Asia, namun turut dijemput buat julung kalinya bersaing dalam Kejohanan Juara Antara Juara di India, Mei depan.

"Ia satu pengalaman baru jika saya terima. Namun, saya tanggungjawab sebagai jurulatih dan bertindak sebagai atlet di sini akan mengganggu persiapan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen