Legenda bina badan negara, Datuk Malek Noor, menasihatkan Syarul Azman Mahen agar melupakan kekecewaan acara itu tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kerana dia sudah bergelar Mr World.

Syahrul mencipta sejarah apabila menjadi atlet pertama negara menjuarai kategori fizikal badan dalam Kejohanan Bina Badan Dunia di Pattaya, Thailand, semalam.

Bagaimanapun, dia meluahkan nada kecewa apabila acara itu tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA tahun depan biarpun Malaysia memiliki peluang cerah meraih pingat emas.

Malek, selaku Mr Asia enam kali, menasihatkan Syahrul Azman meraikan kejayaan Mr World kerana ia jauh lebih besar berbanding temasya dwitahunan itu.

"Teruskan perjuangan walaupun tidak beraksi dalam Sukan SEA tahun depan. Dua pingat emas daripada Syarul dan Lilian Tan adalah satu kejayaan buat Malaysia,” kata Malek.

Acara bina badan tidak dipertandingkan dalam temasya itu ekoran kebimbangan akan wujudnya kes doping.

Syahrul Azman, yang muncul juara buat kali pertama dalam enam percubaan, dijadualkan pulang ke tanah air, esok.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini, diharap kejayaan ini akan membuka mata Majlis Sukan Negara (MSN),” kata Syarul Azman.