Syarul Azman terkilan dipalit isu doping 

Oleh Staff Writer 17 November 2019 438
Syarul Azman terkilan dipalit isu doping 
Mr. Universe empat kali, Syarul Azman Mahen Abdullah, kecewa dituduh positif doping tatkala Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) enggan mendedahkan identiti atlet yang dikesan menggunakan bahan terlarang jenis steroid itu sebelum menyertai kejohanan Mr. Asia, September lalu.

Sikap berdiam diri persekutuan itu menyebabkannya turut terkena tempias kes doping berkenaan. 

Ia sesuatu yang mengecewakannya memandangkan dia merupakan atlet bina badan negara yang paling berjaya sejak lima tahun lalu.

Lebih malang, Syarul Azman dituduh positif doping, terutama selepas bergelar juara berganda pada tahun ini.

"Ada pihak yang menerima berita palsu tetapi tidak merujuk kepada pihak persatuan. 

"Jadi, saya dituduh (terbabit doping) dan ia mengecewakan saya. 

"Sedikit-sebanyak saya tidak berpuas hati kerana ia menjejaskan reputasi saya sebagai juara dunia sebanyak empat kali berturut-turut," katanya di pusat latihan di Cheras hari ini. 

PPBM, bagaimanapun, sudah mengenakan hukuman penggantungan empat tahun ke atas atlet terbabit.

Begitupun, badan induk berkenaan enggan mendedahkan identiti atlet itu -- berbeza dengan pendekatan kes doping lain, termasuk membabitkan legenda, Sazali Samad.

Dalam masa sama, Syarul Azman, 46, sedang bersiap sedia untuk menghadapi kejohanan pertama seawal tahun depan.

"Saya akan menyertai Kejohanan Juara Antara Juara-Juara yang menyaksikan tiga atlet terbaik sejak 2018 dibolehkan bertanding.

"Jadi, saya sedang buat persediaan kalau persatuan setuju untuk menghantar saya.

"Sebab itulah saya masih menjaga aspek pemakanan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen