Jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, mengakui berdepan cabaran hebat untuk mempertahankan gelaran Mr Asia kategori klasik dan Mr World kategori fizikal susulan dua kejohanan itu bakal berlangsung berdekatan, tahun depan.

Syarul mencetus sensasi apabila menjadi atlet pertama negara menjuarai kategori fizikal badan bawah 170 sentimeter dalam Kejohanan Bina Badan Dunia 2016 di Pattaya, Thailand baru-baru ini.

Lebih manis, ia merupakan gelaran kedua terbesar buat dirinya selepas meraih gelaran Mr Asia kategori klasik di Bhutan pada awal tahun ini.

Namun, kesukaran menanti Syarul Azman untuk mengulangi pencapaian hebat itu tahun depan memandangkan Kejohanan Dunia di Mongolia berlangsung sebulan selepas Kejohanan Asia di Korea Selatan, Ogos depan.

“Saya telah diberitahu kejohanan yang berlangsung di Mongolia tidak akan melengahkan kejohanan tersebut kerana musim sejuk, jadi selepas tamat Mr Asia, saya akan membuat persiapan untuk Mr World,” katanya.

Syarul Azman, bagaimanapun, optimis mampu menghadapi cabaran itu sambil menegaskan dua kejohanan berkenaan tetap menjadi keutamaannya.

“Jika boleh, saya akan cuba untuk mempertahankan kedua-dua gelaran saya, ini merupakan kali pertama saya memegang dua gelaran dan ini merupakan satu cabaran buat diri saya.”