Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang pelumba rali profesional, Syakirin Razaki, terus 'berlumba' menerusi simulator perlumbaan di rumahnya di Kuala Terengganu.

Menurut Syakirin, dia mengeluarkan duit poketnya sendiri bagi tujuan itu dengan konsol permainan dijadikan platform utama ditambah aksesori jentera empat roda yang sebenar.

Pelumba berusia 35 tahun itu juga berkata pelumbaan di simulator menjadi latihan terbaik yang turut membolehkannya berlumba dengan pelumba-pelumba lain melalui atas talian.

Mengulas lanjut, Syakirin mengakui dia tidak terlepas dari menanggung kerugian susulan penarikan diri beberapa penaja ekoran penangguhan siri perlumbaan musim ini.

"Idea untuk membina simulator ini hadir selepas beberapa siri latihan terpaksa dibatalkan ekoran daripada penularan Covid-19 serta pelaksanaan PKP.

"Simulator ini dilengkapi teknologi perisian terkini seperti sukan elektronik di mana pelumba boleh memilih kenderaan atau litar pilihan masing-masing," jelasnya.

Berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tenaga Nasional, Syakirin bermula dari acara drag pada 2006 sebelum beralih kepada sukan rali pada 2012.

Bersama rakan-sepasukannya, Azmeer Yusri, Syakirin mengecapi pelbagai kedudukan podium antaranya dalam Kejuaraan Rali Malaysia.