Atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan, mendedahkan dia terpaksa menjalani latihan lebih lima jam sehari dan menangguhkan pengajian sebelum menghuni ranking pertama Liga Perdana K1 Dunia, yang merupakan petanda baik buatnya menjelang Kejohanan Dunia di Austria, hujung bulan ini.

Bukan mudah untuk Syakilla mencipta sejarah sebagai atlet sulung negara yang menghuni ranking pertama Liga Perdana K1 Dunia dalam kategori 55kg.

Menurutnya, banyak pengorbanan diperlukan, termasuk bangun seawal jam 6.00 pagi untuk menjalani latihan di bawah kendalian ketua jurulatih negara, Andris Vasiljevs.

"Setakat ini, segala pengorbanan saya sangat berbaloi kerana saya menangguhkan pengajian untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada latihan untuk saya mencapai sasaran saya.

"Pagi, saya berlatih di gimnasium dan trek, kemudian petang berlatih lagi, kami menghadiri kem latihan dan ke luar negara untuk menjalani kem latihan.

"Kami menyertai pertandingan yang dilihat sebagai eksperimen untuk kami. Kami bereksperimen dengan semua teknik yang kami miliki, jadi kami boleh terus memperbaiki apa yang perlu sebelum mengejar kejuaraan dunia," jelasnya.

Kedudukan itu meletakkan Syakilla sebagai harapan utama Malaysia dalam Kejohanan Dunia di Austria. Dia pernah meraih pingat perak dalam Kejohanan Dunia 2014.

Namun, Syakilla mahu melakar sejarah lebih besar di Austria, apatah lagi karate akan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.