Dua bekas tekong negara, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak, mengemukakan dua perkara dalam surat rayuan mereka kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), dalam usaha mengembalikan maruah dan reputasi mereka sebagai pemain negara.

Mesyuarat Jawatankuasa Juri Rayuan PSM bersidang hari ini, yang dipengerusikan timbalan presidennya, Datuk Akramuddin Abd Aziz, untuk membincangkan rayuan Syahir dan Zulkifli yang sebelum ini digantung dua tahun kerana masalah disiplin.

Syahir dan Zulkifli masing-masing sudah mengutuskan surat rayuan dengan permohonan utama mereka adalah mengurangkan tempoh penggantungan yang diputuskan Jawatankuasa Tindakan Tatatertib sebelum ini, iaitu tidak boleh beraksi untuk mana-mana kejohanan dalam dan luar negara selama dua tahun sehingga Jun 2021.

Satu lagi permohonan mereka adalah dibenarkan beraksi sekurang-kurangnya dengan majikan masing-masing, iaitu Syahir yang terikat dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA), manakala Zulkifli yang berkhidmat dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

"Kami cuba mendapatkan keputusan menang-menang untuk kedua-dua pihak di antara PSM dan dua tekong negara ini. Kami masih lagi mengkaji perkara ini daripada setiap aspek," kata Akramuddin.

Bagaimanapun, barisan juri rayuan tidak dapat memberikan kata putus dan keputusan rayuan hanya akan dapat diketahui selepas Majlis Exco PSM bersidang Isnin ini.

"Kami ingin menegaskan khidmat masyarakat 30 jam yang dikenakan kepada Syahir dan Zulkifli adalah sama seperti hukuman yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah, mereka perlu menjalani proses tersebut dengan berkongsi ilmu dan pengalaman sebagai atlet sepak takraw," katanya lagi.