Syafiq serius mahu cabar kedudukan dua terbaik Malaysia

Oleh Staff Writer 3 Mac 2020 66
Syafiq serius mahu cabar kedudukan dua terbaik Malaysia
Kem latihan di Bristol, England mematangkan pemain skuasy lelaki negara, Syafiq Kamal, untuk mula mencabar kedudukan dua terbaik Malaysia.

Syafiq kini kembali berlatih bersama kem kebangsaan di Bukit Jalil selepas pengembaraan di Bristol sejak hujung tahun lalu sehingga hujung Januari lalu.

Di England, dia turut berlatih bersama dua pemain terbaik Malaysia, Ivan Yuen dan Ng Eain Yow, yang berpangkalan sepenuh masa di sana.

Bagaimanapun, ranking dunia Syafiq tidak mencerminkan status sebagai pemain nombor tiga Malaysia memandangkan dia berada di luar kelompok 80 terbaik dunia.

"Di sana ada liga besar, jadi akan bermain dengan pemain berstatus tinggi. Jadi, sudah terbiasa dengan situasi kejohanan. Di luar, saya banyak menerima maklumat dan apa perlu dilakukan. Sebelum ini saya agak bergelut tetapi kini lebih bermotivasi," katanya.

Kini, dia berpeluang untuk membuktikan keberkesanan buat skuad negara dalam tugasan penting menerusi Kejohanan Berpasukan Asia di laman sendiri, hujan bulan ini.

"Kami berpeluang untuk meraih kejuaraan. Kami ada kelebihan di tempat sendiri, kemudian ada Yuen dan Eain Yow. Saya hanya siapkan diri sendiri untuk kedudukan ketiga, diharapkan dapat membantu sekurang-kurangnya satu mata."

Barisan kejurulatihan menetapkan sasaran mencabar kejuaraan berdasarkan pencapaian acara berpasukan dalam Sukan Asia 2018.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen