Pemain skuasy negara, Syafiq Kamal, berhasrat memastikan Malaysia menepati sasaran awal untuk mara ke suku akhir Kejohanan Berpasukan Lelaki Dunia 2017 yang akan berlangsung di Marseille, Perancis, dari 26 November hingga 3 Disember depan.

Sejak pertama kali menyertai kejohanan itu pada 1985, suku akhir merupakan pencapaian terbaik yang pernah diraih skuad lelaki negara.

Lantaran itu, sasaran sama diletakkan dalam edisi kali ini berdasarkan pencapaian ketika ia kali terakhir dipertandingkan pada 2013.

Saingan itu yang turut diadakan di Perancis menyaksikan cabaran negara terkandas dalam suku akhir selepas kecundang kepada tuan rumah manakala edisi 2015 yang sepatutnya dilangsungkan di Mesir terpaksa dibatalkan ekoran keadaan tidak menentu di negara berkenaan.

"Saya berharap kami dapat kekal dalam kalangan lapan pasukan terbaik dunia. Sebelum ini, kami tidak pernah gagal untuk melakukannya.

"Semua pihak bekerja keras dan kami saling bersaing sengit untuk merebut tempat," ujar pemain di ranking ke-94 dunia itu.

Secara keseluruhan, Syafiq, yang akan membuat penampilan pertama dalam Kejohanan Berpasukan Dunia itu, menaruh keyakinan tinggi menerusi persiapan rapi dapat membantu Malaysia meraih keputusan positif.
"Kami sudah melakukan persiapan sejak sebulan lalu. Latihan yang dilangsungkan adalah berintensiti tinggi dan semakin bagus hari demi hari agar kami dapat bersaing dengan pemain utama di Perancis nanti," katanya.