'Umur bukan penghalang bagi atlet muda untuk membutirkan pingat dalam temasya antarabangsa jika diberi peluang', itu pandangan penembak senior, Nor Suryani Taibi, meskipun prestasi skuad menembak negara tampak goyah dalam Sukan SEA tahun lalu dan mungkin pengenalan muka baru mampu mengubah nasib mereka bagi temasya akan datang.

Saranan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) adalah untuk mempertaruhi atlet muda ke Sukan SEA Vietnam tahun hadapan mengundang reaksi berbeza.

Tetapi tidak bagi Suryani yang berasakan pentas pendedahan juga boleh menjadi pulangan kepada satu kejutan berbentuk pingat buat kontinjen.

"Sukan SEA bagus buat atlet muda kerana penembak yang bertaraf amatur boleh memberikan tumpuan kepada saingan di pentas lebih tinggi, sama seperti saya ketika meraih kejayaan dalam Sukan SEA sebelum ini," kata Suryani.

Kali terakhir Suryani beraksi adalah dalam Sukan SEA Filipina dan disebabkan pandemik Covid-19, proses latihan terhenti baginya.

Kerana itu pemenang pingat perak Sukan Asia 2014 teruja berupaya turun berlatih setiap hari selepas lampu hijau daripada kerajaan.

"Latihan dapat dijalankan walaupun masih lagi perlu menjalani proses ujian calitan. Ia sekaligus menjadi pengubat rindu setelah lama tidak turun ke lapangan sasar. Buat masa ini, saya memberikan tumpuan kepada persiapan diri sendiri, memperbaiki prestasi sebelum memikirkan mengenai pertandingan yang bakal disertai."