Jaguh memanah para negara, S. Suresh, enggan terlalu selesa dengan status pemanah para nombor satu dunia sambil menyedari bahawa dia perlu bekerja keras dalam Kejohanan Memanah Para Asia di Bangkok, Thailand bermula Sabtu ini bagi mempertahankan gelaran tersebut.

Pemanah berusia 26 tahun itu perlu mengekalkan kecemerlangannya dalam kejohanan itu memandangkan ranking pertamanya hanya dibezakan 18.5 mata dengan pencabar terdekat dari Jepun, Ueyama Tomohiro.

Meskipun sudah bergelar juara dunia, Suresh masih mengintai peluang untuk mengecap kejuaraan Asia pertamanya.

"Saya tidak fikirkan yang saya berada di ranking nombor satu dunia.

"Saya hanya memikirkan cara untuk menewaskan pencabar dari negara lain.

"Bagi saya, ranking pertama itu tidak berapa penting," katanya.

Dalam masa sama, kejohanan itu turut akan dijadikan sebagai medan persiapannya menjelang Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Buat masa sekarang, saya rasa (pencabar utama) dari Korea (Selatan), Jepun dan Thailand.

"Mereka agak kuat di peringkat Asia.

"Saya hanya mahu menewaskan mereka, fokus saya hanya mahu menumpaskan pencabar terkuat," tambahnya.