Ketua jurulatih kriket bawah 19 tahun negara, Suresh Navaratnam, berdepan cabaran untuk mengumpulkan kesemua pemain dalam sesi latihan menjelang Kejohanan Piala Asia apabila enam pemainnya terikat dengan persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Enam pemain dalam skuad remaja itu tidak menjalani sesi latihan sepenuh masa kerana memberikan tumpuan kepada persediaan untuk menduduki SPM minggu hadapan.

Justeru, Suresh perlu memikirkan jalan terbaik untuk anak buahnya benar-benar bersedia beraksi di pentas Piala Asia meskipun tanpa enam pemain terbabit.

Apa yang penting, mereka perlu lebih fokus dalam latihan sebelum terbang ke Sri Lanka, Disember depan kerana kejohanan itu pasti lebih sukar berbanding kelayakan Piala Dunia Rantau Asia Divisyen Dua, Oktober lalu, di mana Malaysia muncul selaku juara.

"Kami berdepan sedikit masalah di mana ada pemain yang tidak dapat bersama pasukan kerana bakal menghadapi SPM. Bagaimanapun, kami perlu melakukan persediaan dengan sebaik mungkin.

"Kami mempunyai tiga sesi latihan setiap hari, pagi 10 hingga 11.30, 1.30 hingga 3.00 petang dan 6.00 hingga 7.00 petang," jelasnya.

Tambah Suresh, kehadiran empat pemain senior kebangsaan yang bersama skuad remaja itu diharap dapat memperkuatkan lagi pasukan bagi mempamerkan aksi hebat.

"Pemain-pemain senior mempunyai pengalaman, mereka juga mempunyai kemahiran yang lebih daripada pemain muda yang lain.

"Kami akan menggunakan kemahiran yang dimiliki oleh pemain senior untuk membantu pasukan dalam Piala Asia nanti."