Ketua jurulatih skuad tenis negara, Suresh Menon, bercadang membawa pasukan wanita kebangsaan berlatih di Sepanyol untuk beberapa minggu dalam usaha memperbaiki prestasi hambar mereka.

Gagal mempamerkan aksi memberangsangkan tahun lalu, Suresh bercadang mempertingkatkan prestasi skuad tenis negara dengan beberapa kejohanan antarabangsa bermula Mac depan.

Bagaimanapun, pasukan wanita mendapat suntikan berbeza apabila pengendali itu bercadang menghantar mereka berlatih di Sepanyol selama beberapa minggu selain menyertai kejohanan antarabangsa.

"Saya mahu persiapkan pemain untuk beraksi selama lima minggu di atas gelanggang tanah liat. Ia akan jadi perancangan yang bagus serta membantu menguatkan mental. Jika mereka boleh hadapinya, semua akan jadi mudah buat pemain," katanya.

Suresh juga menambah aksi antarabangsa yang bakal bermula dua bulan lagi tidak boleh diambil mudah oleh pemain memandangkan ada sasaran yang perlu dicapai.

"Harapan saya mahu mereka mengutip mata. Saya mahu mereka sekurang-kurangnya mara ke pusingan 16 atau suku akhir."

Skuad negara bakal memulakan kempen kejohanan di tanah air terlebih dahulu yang bakal diadakan di Pusat Tenis Nasional Tun Razak, Kuala Lumpur, 19 hingga 23 Februari depan.



Editor: Nafis Abdullah