Sukma: Wilayah Persekutuan buru gelaran juara 

Oleh Staff Writer 14 Februari 2020 83
 Sukma: Wilayah Persekutuan buru gelaran juara 
Kontinjen Wilayah Persekutuan mendambakan gelaran juara Sukan Malaysia (Sukma) di Johor, Julai depan, selepas penampilan terakhir menyaksikan mereka hanya bergelar naib juara dengan kutipan 55 pingat emas. 

Itu kata chef-de-mission (CDM) Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, yang optimis bahawa kedudukan itu mampu dicapai selepas kontinjennya ketinggalan pada saat akhir di tangan Terengganu, dua tahun lalu. 

buat masa ini, pelbagai persediaan giat dijalani atlet Wilayah Persekutuan termasuklah bekerjasama dengan pihak Golden Sport Collaboration (GSC) yang memberi atlet pendedahan di luar negara. 

Senarai nama pendek atlet yang akan mewakili kontinjen kelak hanya akan ditentukan April depan.

"Mereka semua adalah atlet muda yang berusia 21 tahun ke bawah.

"Ada yang baru kali pertama mewakili Wilayah Persekutuan ataupun pertandingan besar.

"Kami sedia menghantar mereka untuk menyertai kejohanan terbuka dalam tempoh enam bulan ini," katanya semalam.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Uzir turut menolak desakan memecahkan kontinjen wilayah yang terdiri daripada Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya meskipun ada permintaan untuk mengibar panji-panji sendiri.  

"Saya tidak menghalangnya untuk membawa panji masing-masing tetapi kali ini kami mewakili Wilayah Persekutuan secara keseluruhannya."

Editor: Shaiful Shamsudin 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen