Sukma: Terengganu nilai semula sasaran tiga emas memanah

Oleh Tengku Danish Bahri 7 Mei 2020 38
Sukma: Terengganu nilai semula sasaran tiga emas memanah
Sasaran tiga pingat emas yang diletakkan skuad memanah Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan kini berdepan kesukaran dan perlu dinilai semula.

Ketua jurulatih, Syafiq Azim Saeri, mengakui kekurangan latihan dan kejohanan pemanas badan menyukarkan prestasi atlet Terengganu untuk berada di landasan terbaik.

Malah, program latihan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu, hanya boleh dipantau menerusi video dan situasi itu agak merisaukan buat skuad bimbingannya.

"Sasaran awal adalah mengatasi pencapaian dua pingat emas pada 2018 tapi sukar untuk saya meramal prestasi atlet sehingga kembali ke lapangan latihan.

"Jadi, saya harap mereka dapat memulihkan rentak seperti sedia kala dan memanfaatkan tempoh selepas PKP dan seterusnya mencapai sasaran tiga pingat emas," tambahnya.

Turut dijelaskannya senarai atlet terpilih membawa cabaran ke Johor juga belum dimuktamadkan dan masih dalam senarai panjang.

Menurut Syafiq, terdapat beberapa atlet memanah Terengganu sedang dipantau sambil mengambil kira mereka yang terlibat dengan peperiksaan awam tahun depan.

Kredit foto: Persatuan Memanah Terengganu

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen