Terengganu kini dalam usaha untuk berada satu langkah di hadapan negeri-negeri lain dalam persediaan Sukan Malaysia (Sukma) sekalipun menghadapi kekangan isu semasa.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu, berkata satu strategi telah dirangka bersama jurulatih semua acara sukan bagi mengekalkan prestasi atlet.

Kelonggaran menjalankan beberapa sukan oleh pihak berkuasa mulai esok turut disambut baik MSNT sambil membayangkan sesi latihan akan disambung semula.

Begitupun menurut Ibni, garis panduan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan dirujuk untuk meningkatkan program sedia ada bagi acara sukan yang dibenarkan itu.

"Sebaik saja dapat garis panduan itu nanti, kami akan tambah baik latihan atlet dan berlatih macam biasa, tapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Saya percaya setiap negeri berdepan masalah serupa mempersiapkan pasukan untuk Sukma.

"Selaku juara bertahan. MSNT sedang berusaha memastikan Terengganu berada 'one step ahead'," tambahnya.

Kerajaan pada Jumaat membenarkan acara sukan seperti larian, golf, berbasikal dan badminton dijalankan dalam kumpulan kecil tidak lebih 10 orang.

Justeru, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) telah diarahkan KBS untuk mengeluarkan garis panduan terperinci kepada atlet serta jurulatih sukan itu.

"Tujuannya adalah untuk mengembangkan skop program latihan sedia ada," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menerusi akaun Twitternya.