Kerajaan Negeri Terengganu belum membuat keputusan berhubung penyertaan atlet wanita dalam acara gimnastik dan gimrama menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2020.

Hal itu kerana kerajaan negeri itu masih dalam proses merangka garis panduan dan etika pemakaian patuh syariah terbaik buat atlet yang akan mewakili Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, juga menjelaskan tiada paksaan untuk atlet bukan Islam mematuhi etika tersebut.

Menerusi kenyataan media hari ini, Wan Sukairi menegaskan Terengganu tetap akan mempertaruhkan barisan atlet terbaik bagi memburu pingat dalam temasya di Johor itu.

"Belum ada keputusan dibuat Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kerana tempoh pendaftaran belum dibuka.

"Atlet bukan Islam tidak dipaksa untuk mengikuti garis panduan itu. Asalkan melepasi kelayakan dan prospek pingat emas, mereka akan mewakili Terengganu.

"Cuma, di sini sukar mendapatkan atlet berbangsa Cina dalam sukan seperti gimnastik, renang dan wushu.

"Bukan sebab kami mengamalkan diskriminasi," tegasnya sebagai membalas isu yang ditimbulkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Semalam, Syed Saddiq tidak menolak akan mengambil alih MSNT jika Kerajaan Negeri Terengganu menggantung penyertaan atlet wanita mereka dalam sukan gimnastik.

Menerusi laman twitter rasminya, Syed Saddiq berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan bertoleransi dengan tindakan sedemikian.

"Saya akan mengadakan perjumpaan dengan atlet yang terlibat untuk memastikan masa depan mereka tidak terjejas," kata Ahli Parlimen Muar itu.