Status sukan angkat berat dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan mencetus tanda tanya apabila Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) digantung selama setahun oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) gara-gara kes doping.

Perkara itu juga mengundang pandangan berbeza daripada pelbagai pihak sama ada sukan berkenaan boleh dipertandingkan di Johor atau sebaliknya.

PABM digantung setahun sehingga 1 April 2021 gara-gara empat kes doping pada 2018.

Ia bermakna, sepanjang tempoh itu, skuad angkat berat Malaysia tidak boleh terbabit dengan sebarang kejohanan antarabangsa.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan hukuman itu turut membabitkan Sukma Johor yang ditunda ke tahun depan ekoran pandemik Covid-19.

"Peraturannya amat jelas, apabila (persatuan) anda digantung oleh persatuan antarabangsa atau benua anda, anda seperti tidak wujud dan tidak boleh mengambil bahagian dalam mana-mana (kejohanan) sukan," kata Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Antidoping MOM, Datuk Dr. S. S. Cheema.

"Sama ada sebagai pengadil mahupun atlet, anda tidak sepatutnya terlibat langsung.

"Dengan itu, merekan (PABM) perlu mendapatkan gambaran yang jelas daripada IWF atau persatuan benua sama ada mereka dibenarkan (untuk bersaing) kerana tidak akan ada layanan istimewa.

"Jika anda melanggar peraturan persatuan antarabangsa atau benua, akibatnya amat teruk.

"Saya tidak fikir ada sesiapa akan sengaja mengambil bahagian dalam sesuatu kejohanan ketika anda tahu anda telah digantung," katanya.

Dalam pada itu, bekas jaguh angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim, menyuarakan pandangan berbeza dengan berkata: "PABM digantung daripada menyertai kejohanan antarabangsa. Untuk (kejohanan) dalaman, ia tidak menjadi masalah.

"Jika kita menganjurkan dua atau tiga kejohanan dalam setahun juga tiada masalah kerana PABM hanya digantung daripada menyertai kejohanan peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh IWF sahaja," katanya.