Persiapan kemudahan untuk menghadapi kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Johor Edisi Ke-20 Julai depan hanya tinggal kira-kira 10 peratus untuk disiapkan sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata persediaan itu adalah daripada segi fasiliti sukan dan kemudahan penginapan bagi menerima kontinjen seluruh negara.

“Saya lihat kebanyakkan venue dan fasiliti sukan ada yang sudah mencapai lebih 90 peratus siap, antaranya ialah Stadium Olahraga, Velodrom Johor dan Arena MAS di Taman Impian Emas telah siap sepenuhnya.

"Jadi saya yakin, akhir April depan semuanya dapat disiapkan sepenuhnya,” katanya.




Beliau berkata demikian selepas kepada pemberita menyerahkan watikah jemputan rasmi Kontinjen Perlis sempena Sukma 2020 kepada Kerajaan Negeri Perlis yang diterima oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Awam, Pengangkutan, Belia dan Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hamizan Hassan di Kompleks Dewan Undangan Negeri di Kangar, hari ini.

Sukma 2020 akan berlangsung di tiga daerah di Johor, iaitu di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Muar dari 11 hingga 19 Julai depan.

-- BERNAMA