Kerja-kerja pembinaan dan menaik taraf venue Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 berjalan seperti yang dirancang dan dijangka siap menjelang Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri, berkata sehingga kini 60 peratus kerja-kerja pembinaan telah siap mengikut jadual yang ditetapkan manakala 40 peratus lagi mengalami sedikit kelewatan.

"Daripada kesemua venue, 60 peratus siap lebih awal daripada jadual manakala 40 peratus mengalami kelewatan.

"Kelewatan ini hanya disebabkan masalah yang boleh diselesaikan seperti bekalan utiliti seperti air, elektrik dan pentadbiran sahaja dan usaha untuk mengatasinya telah dilakukan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Teknikal dan Pemantauan bagi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur Dan Kemudahan Awam SUKMA 2020 di Bangunan Dato’ Abdul Rahman Andak, Iskandar Puteri hari ini.

Beliau berkata satu lawatan teknikal ke semua venue SUKMA akan dijalankan secara berperingkat mulai Ahad ini bagi meninjau perkembangan terkini projek pembinaan berkaitan.

Dalam masa sama, Mohd Solihan berharap agar semua pihak yang terlibat dalam penyediaan venue dan fasiliti komited melakukan kerja bagi memastikan persiapan berkenaan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Kami menjangkakan 39,000 orang akan berada di negeri ini khususnya di Johor Bahru termasuk atlet, pegawai, penonton dan ia memang satu cabaran memandangkan tahun ini juga, kami akan menghadapi Tahun Melawat Johor 2020.

"Jadi, kami hendak pastikan penganjuran kali ini penganjuran terbaik yang pernah dianjurkan," katanya lagi.

Tambahnya, semua venue perlu siap menjelang Mei ini sebelum diserahkan kepada Sekretariat SUKMA 2020.

Selain venue, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak konsensi dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta untuk memastikan persekitaran menuju ke venue berada dalam keadaan baik seperti lampu, landskap dan jalan menuju ke lokasi sukan diselengara dengan baik.

SUKMA 2020 akan berlangsung dari 11 hingga 19 Julai depan diikuti Para Sukma dari 16 hingga 22 Ogos depan.

-- BERNAMA