Sukma: Peninju Sarawak berlatih di Filipina

Oleh Rudi Affendi Khalik 29 Disember 2017 57
Sukma: Peninju Sarawak berlatih di Filipina
Kehebatan Filipina dalam acara tinju di rantau ini menjadi punca negara itu dipilih sebagai pusat latihan intensif luar negara skuad Sarawak yang akan menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Perak tahun depan.

Presiden Persatuan Tinju Amatur Sarawak (SABA), Datuk Abdul Rahman Lariwoo, berkata perancangan rapi telah dilakukan dan atlet yang berpotensi akan dikenal pasti menerusi beberapa kejohanan, termasuk Kejohanan Tinju Piala Presiden pada Mac depan.

"Dalam kejohanan ini, peninju dari pusat latihan di Kuching, Asajaya, Miri, Tatau, Kapit, Saratok, Betong dan Sri Aman akan terlibat.

"Ia akan menjadi gelanggang untuk memilih peninju terbaik bagi mewakili Sarawak dalam Sukma 2018," katanya. 

Ketika ini, kata Abdul Rahman, pihaknya masih belum menetapkan tempat persaingan tetapi mungkin di Betong atau Sri Aman.

Dalam pertemuan petang semalam, beliau turut membayangkan kesediaan persatuan itu untuk menjadi tuan rumah kejohanan tinju peringkat antarabangsa.

"Selepas berjaya menganjurkan Kejohanan Golden Glove Kebangsaan Ke-3, Kuching akan menjadi lokasi penganjuran pertandingan peringkat yang lebih tinggi. 

"Ia juga sebagai sokongan kami kepada komitmen kerajaan negeri untuk mempromosikan pelancongan sukan di negeri ini, sekali gus membolehkan peninju, jurulatih, kru dan penyokong mereka menikmati keindahan Sarawak," katanya.

Bagaimanapun beliau menambah, masih terlalu awal untuk mendedahkan bilakah kejohanan itu bakal dilaksanakan.
 

Tentang Penulis

Rudi Affendi Khalik

Komen