Jaguh angkat berat Wilayah Persekutuan, Muhammad Erry Hidayat, memohon Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya mempertimbangkan kedudukan atlet yang sudah berusia 21 tahun dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor.

Sekiranya tarikh baru berlangsung tahun depan, peluang kumpulan atlet itu untuk beraksi dalam temasya dwitahunan berkenaan mungkin terjejas.

Temasya yang sepatutnya diadakan Julai depan itu terpaksa ditunda ekoran wabak koronavius baru (Covid-19).

Salah satu peraturan Sukma ialah menetapkan had umur 21 tahun dan ke bawah.

Ini bermakna atlet yang sudah mencapai usia maksimum akan terlepas peluang untuk membuat penampilan terakhir di Johor kelak.

Lantas, KBS perlu memikirkan status kumpulan atlet itu sebelum memutuskan tarikh baru sama ada Disember depan atau suku pertama 2021.

"Atlet yang berumur 21 tahun pada tahun ini telah lama berlatih untuk membuat penampilan terakhir dalam Sukma Johor.

"Oleh kerana ditunda, kami tidak dapat beraksi," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Erry memiliki rekod baik dakan Sukma.

Dia rangkul pingat emas kategori 69kg sejak temasya di Sarawak pada 2016, perak dua tahun lalu dan berhasrat melengkapkan emas hatrik di Johor menerusi kategori baru 73kg.

"Mungkin peluang dalam Sukma sudah tiada, sasaran saya terlepas untuk mendapatkan pingat emas dalam 100 dan 200 meter.

"Kalau boleh biarlah ia diadakan pada tahun ini," kata pelari pecut Negeri Sembilan, Haiqal Hanafi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, membayangkan mereka bertolak ansur dengan dilema atlet-atlet berkenaan.

"(Isu) had umur juga merupakan perkara yang akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa tertinggi Sukma kerana kami bukan suka-suka (untuk berbuat demikian).

"Atlet yang sudah berlatih selama dua tahun ini akan dipertimbangkan agar mereka dapat bersama dalam Sukma," katanya.